Blog perkongsian maklumat dan isu semasa terkini

PENGURUSAN TANAH LEMBAB

Tanah Lembab
Gambar 1.1: Sg.Setiu, Terengganu
(Sumber: www.wwf.org.my )

1.0 PENGENALAN

Tanah lembab adalah merujuk kepada sebuah kawasan yang mempunyai kadar kelembapan tanah yang rendah. Menurut konvensyen mengenai tanah lembab yang ditandatangani di Ramsar, Iran pada tahun 1971, tanah lembab merupakan kawasan yang berpaya, bergambut, berair, sama ada ianya wujud secara semulajadi atau buatan manusia. Kawasan tanah lembab juga dicirikan dengan aliran air yang statik, air payau dan masin. Kawasan dasar laut yang tidak melebihi enam meter dalamnya daripada permukaan air semasa air surut yang kaya dengan pelbagai hidupan termasuk batu karang juga dikategorikan sebagai kawasan tanah lembap.

Tanah lembab menempati zon sempadan di antara kawasan basah kekal dan persekitaran daratan kering. Kedudukan sempadan antara dua zon ini membolehkan tanah lembab mempunyai ciri kedua-dua habitat dan tahap kepelbagaian biologi yang tinggi (Maltby 1991). Kerap kali tanah lembab ini dikenali sebagai ekosistem yang paling produktif dibumi, merangkumi spesies daripada sistem akuatik dan juga daratan. Terdapat pelbagai jenis tanah lembab di bumi ini contohnya paya lembut, paya gambut, paya bakau, muara dan tasik. Istilah yang berlainan ini menggambarkan sifat ekosistem yang mempunyai vegetasi , haiwan dan ciri-ciri lain yang spesifik.
Secara umumnya, kawasan tanah lembab dibahagikan kepada dua jenis iaitu tanah lembab semulajadi dan tanah lembab buatan manusia. Bagi negara Malaysia, terdapat banyak kawasan yang boleh dikategorikan sebagai kawasan tanah lembab sama ada yang wujud secara semulajadi ataupun buatan manusia. Contoh kawasan tanah lembab semulajadi adalah seperti Sg.Kinabatangan di Sabah, Sg.Rajang di Sarawak dan banyak lagi. Manakala, contoh kawasan tanah lembab buatan manusia adalah seperti Putrajaya Lake dan Wetland, Tasik Bera, Kota Kinabalu Wetland di Sabah dan banyak lagi.
Malaysia mempunyai anggaran 2% daratannya yang terdiri daripada tanah lembap. (Mitsch and Gosselink 1993). Salah satu daripadanya yang wujud dalam bilangan besar ialah bekas tasik lombong bijih timah. Ini adalah lumrah kerana Malaysia pernah menjadi pengeluar bijih timah yang terbesar di dunia pada suatu masa dahulu. Jika kawasan lembap yang merangkumi tasik lombong ini dapat digunakan dengan sempurna, maka pembukaan kawasan hutan yang baru untuk tujuan pembangunan berkaitan boleh dielakkan.
Tanah lembab di Asia umumnya dan Malaysia khususnya secara tradisinya telah menyumbang kepada kesejahteraan ekologi dan mata pencarian manusia melalui proses-proses dan fungsi-fungsi semulajadinya. Tekanan daripada peningkatan dan pertambahan populasi dunia dan tiadanya kesedaran mengenai pentingnya peranan tanah lembab telah mengakibatkan penyusutan tanah lembab dan pengguna-pengguna tempatan diancam dari segi kebolehan mereka untuk menggunakan sumber-sumbernya yang semakin berkurangan. Ancaman yang timbul ini mewujudkan keperluan yang mendesak untuk menangani cabaran-cabaran yang timbul dari pembangunan sektor yang tidak seimbang, kemiskinan dan kemahiran yang tidak memadai untuk membaik pulih dan mengurus tanah lembab dengan lebih efektif dan berkesan.

2.0 CARA-CARA PENGURUSAN TANAH LEMBAB DI MALAYSIA

Pengurusan tanah lembab adalah merujuk kepada satu tatacara, kaedah dan langkah-langkah yang sistematik untuk memulihara dan mengekalkan kestabilan ekosistem hutan tanah lembab dari segi nilai dan fungsinya. Bagi negara kita iaitu Malaysia, terdapat beberapa langkah-langkah yang dijalankan untuk memelihara dan mengekalkan hutan tanah lembab yang wujud di negara ini.

2.1 KONVENSYEN RAMSAR

Bagi memastikan kawasan tanah lembab yang terdapat di Malaysia terjamin kestabilannya, pihak negara kita telah menandatangani Konvensyen RAMSAR. Konvensyen RAMSAR merupakan satu perjanjian antarabangsa yang dilancarkan pada 1971 di bandar Ramsar, Iran. Konvensyen RAMSAR adalah bertujuan untuk memulihara kawasan-kawasan tanah lembab yang berkepentingan antarabangsa khususnya sebagai habitat burung air. Kawasan-kawasan tanah lembab yang mempunyai kepentingan antarabangsa akan disenaraikan sebagai “Tapak Ramsar”. Malaysia telah menandatangani perjanjian ini pada 10 November 1995. Antara kawasan yang disenaraikan sebagai Tapak Ramsar adalah seperti Tasik Bera, Kuala Gula di Perak, Tanjung Piai, Sungai Pulai dan Pulau Kukup di Johor.

2.2 DASAR TANAH LEMBAB NEGARA

Dalam Rancangan Malaysia Ke-9, penjagaan alam sekitar amat digalakkan untuk memastikan keseimbangan antara keperluan pembangunan dengan alam sekitar dikekalkan. Dalam Bab 22 RMKe-9 yang bertajuk “Menggalakkan Penjagaan Alam Sekitar”, ada menyatakan mengenai pengurusan sumber asli negara. Dalam pernyataan RMKe-9 ini, kawasan tanah lembab dikategorikan sebagai salah satu biodiversiti yang memerlukan penjagaan dan pemuliharaan yang sistematik bagi menjamin kestabilan ekosistemnya. Dalam memastikan kawasan tanah lembab diurus dengan baik, pihak kerajaan telah memperkenalkan Dasar Tanah Lembab Negara. Dasar Tanah Lembab Negara telah diperkenalkan pada tahun 2004. Ia bertujuan untuk memelihara dan memulihara kawasan tanah lembab serta menambah baik pengurusannya. Antara jabatan-jabatan kerajaan yang memainkan peranan penting dalam pelaksanaan dasar ini adalah seperti Jabatan Perhutanan dan Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

2.3 DOKTRIN PERANCANGAN DAN PEMBANGUNAN SEJAGAT

Pengurusan sumber tanah di Malaysia khasnya kawasan tanah lembab telah dipertingkatkan melalui perancangan guna tanah yang lebih bersepadu dan peningkatan teknologi penderiaan jauh (Remote Sensing). Melalui Doktrin Perancangan dan Pembangunan Sejagat, aktiviti pembangunan dan perancangan gunatanah adalah berasaskan kepada pembangunan seimbang dan mampan dari aspek ekonomi, sosial, kerohanian dan alam sekitar. Doktrin Perancangan dan Pembangunan Sejagat ini telah digunakan oleh Malaysia dalam pembangunan Putrajaya dan Cyberjaya. Di samping itu, Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) telah menggunakan sistem Pengurusan dan Perancangan Sumber Bersepadu (IRPM), di mana impak alam sekitar terhadap cadangan guna tanah dinilai pada peringkat perancangan dan penilaian strategik alam sekitar dilaksanakan. Kaedah ini telah digunakan dalam pembangunan di Santuari Tanah Lembab Paya Indah di Selangor.
Rujukan:

0 ulasan:

Catat Ulasan

SILA TINGGALKAN PESANAN ANDA DISINI.. Amsran.Com AKAN DATANG MELAWAT BLOG ANDA

RANDOM POSTS