Blog perkongsian maklumat dan isu semasa terkini

PENGURUSAN SISA PEPEJAL

PENGURUSAN SISA PEPEJAL
Rajah : sisa pepejal di Landfill

1.0 PENGENALAN

Sisa pepejal atau sampah-sarap pepejal merupakan sampah-sarap yang dijanakan di sekitar kawasan bandar raya, bandar dan pekan. Sumber sampah-sarap perbandaran adalah terdiri daripada kawasan perumahan, komersil, perindustrian, institusi dan pembinaan (Seow Ta Wee). Menurut Jamaluddin Md.Jahi, 1996 menyatakan sampah sarap di kawasan bandar dapat dikelaskan kepada buangan domestik dan industri yang merupakan penyumbang utama pertambahan sisa pepejal ini.
Masalah pertambahan sisa pepejal dapat dibuktikan melalui penyelidikan yang telah dijalankan oleh beberapa pengkaji. Melalui penyelidikan yang telah dijalankan oleh Lau Chee Ching pada tahun 1998 mendapati bahawa kira-kira 2,000 ton sampah sehari telah dihasilkan oleh penduduk Kuala Lumpur dalam tahun1980-an dan dijangka akan meningkat menjadi 4,000 ton sehari. Manakala kajian yang telah dijalankan oleh Seow Ta Wee (1998) di Lembangan Saliran Langat pula mendapati purata sampah yang dikeluarkan oleh setiap seorang adalah sebanyak 0.646 kg sehari dan yang paling dominant adalah sampah dari kawasan perumahan.
Peningkatan jumlah sisa pepejal ini akan menjadi semakin rumit dan meruncing pada masa akan datang berikutan berlakunya kesesakan lalu lintas, penjanaan sampah yang semakin meningkat dan juga pertambahan populasi penduduk yang semakin meningkat. Bagi mengatasi pelbagai impak negatif daripada pertambahan sisa pepejal ini pada masa akan datang, langkah yang lebih produktif dan efisien perlulah dijalankan melalui pengurusan sisa pepejal.
Pengurusan sisa pepejal merupakan satu daripada cabang alam sekitar yang memberi penekanan kepada keseimbangan antara sistem biofizis dan kegiatan manusia (Zaini Sakawi, 2003). Pengurusan sisa pepejal yang baik melalui penglibatan golongan masyarakat khususnya “scavengers” serta badan-badan kerajaan dan swasta amnya, dapat mengatasi masalah pertambahan sisa pepejal yang dijanakan dan kemerosotan kualiti persekitaran.

2.0 PERNYATAAN MASALAH

Permasalahan kajian yang dapat dilihat dalam kajian ini adalah mengenai sejauhmanakah “scavenger” berperanan dalam pengurusan sisa pepejal. Berlakunya perubahan gaya hidup melalui kepesatan arus pemodenan yang sekaligus meningkatkan kuasa membeli dikalangan masyarakat telah memberi impak kepada peningkatan jumlah sisa pepejal. Peningkatan jumlah sisa pepejal akan menyebabkan masalah dan kemerosotan kualiti persekitaran.
Peningkatan jumlah sisa pepejal telah menyebabkan berlakunya kesukararan dalam pengurusan sisa pepejal tersebut. Berdasarkan maklumat yang diperolehi dari RMKe-9, jumlah sisa pepejal yang dijanakan di Semenanjung Malaysia meningkat daripada 16,200 tan metrik sehari pada tahun 2001 kepada 19,100 tan metrik sehari pada tahun 2005 atau secara puratanya sebanyak 0.8 kilogram per kapita sehari. Jika kita merujuk kepada lokasi kajian dilakukan iaitu Sabah, jumlah penjanaan sampah setiap hari adalah melebihi 1000 tan sehari. Namun begitu, hanya kira-kira 80 peratus sahaja sampah yang dipungut dan diuruskan.
Anggaran Penjanaan Sampah-Sarap
di Kawasan Kerajaan Tempatan di Malaysia
Negeri
Anggaran Penduduk
Penjanaan Sampah (Tan/hari)
Jumlah Pungutan
(Tan/hari)
Sabah
2115546
1481
1037
(Sumber: KPKT, 1999)
Peningkatan jumlah sisa pepejal yang semakin kronik ini secara nyatanya dapat memperlihatkan kepada masyarakat betapa perlunya pengurusan terhadap sisa pepejal ini dilakukan. Bagi negara kita Malaysia, kaedah pelupusan yang biasa digunakan bagi melupuskan sisa pepejal ialah melalui pengkambusan. Selain itu, cara yang biasa digunakan adalah pembuangan secara terbuka. Wujudnya pembuangan secara terbuka yang menyebabkan berlakunya kemerosotan kualiti alam sekitar akhirnya telah menyebabkan munculnya golongan masyarakat yang dipanggil ”scavenger”.
Golongan ”scavenger” dilihat dapat mengurangkan jumlah penjanaan sisa pepejal yang tidak dipungut dipersekitaran. Peranan ”scavenger” yang memungut dan mengumpul sisa pepejal seperti terutamanya kertas dan logam dan seterusnya dihantar kepusat-pusat pengumpulan sisa pepejal membolehkan pengurusan yang lebih berkesan dan efektif dilaksanakan.

3.0 OBJEKTIF KAJIAN

Terdapat tiga objektif kajian ini dijalankan. Antaranya adalah seperti berikut:
a) Mengenalpasti peranan “scavenger” dalam pengurusan sisa pepejal.
b) Melihat jenis-jenis dan komposisi sisa pepejal yang terlibat dalam pengurusan tersebut.
c) Mengenalpasti keberkesanan pengurusan sisa terhadap intensiti sisa pepejal dipersekitaran.

4.0 METODOLOGI KAJIAN

4.1 PENGUMPULAN DATA PRIMER

4.1.1 PEMERHATIAN DAN KAJIAN LAPANGAN

Kerja lapangan merupakan kaedah utama yang sering digunakan oleh kebanyakan pengkaji yang menjalankan penyelidikan. Kerja lapangan membolehkan pengkaji dapat melihat secara langsung dan menyeluruh berkenaan kajian yang dijalankan di setiap lokasi yang telah dipilih.
Melalui kerja lapangan dan pemerhatian, konsep pengurusan sisa pepejal yang terdapat dilokasi kajian dapat dilihat secara langsung. Selain itu, kaedah pengurusan sisa dan kepentingan pengurusan sisa pepejal juga dapat diperhatikan sendiri oleh penulis. Kerja lapangan dan pemerhatian ini dijalankan di sekitar bandarraya Kota Kinabalu meliputi tapak pengumpulan sisa dan pelupusan sisa iaitu di kawasan Telipok, Inanam, Menggatal, Putatan, dan Penampang.

4.1.2 SOAL-SELIDIK

Selain daripada kaedah pemerhatian dan kajian lapangan, kaedah soal-selidik digunakan oleh pengkaji untuk mendapatkan maklumat secara terperinci mengenai peranan “scavenger” dalam pengurusan sisa pepejal ini. Kaedah ini menggunakan borang soal-selidik yang diedarkan kepada responden-responden di lokasi kajian. Kaedah soal-selidik ini amat penting kepada pengkaji kerana dapatan kajian adalah bergantung sepenuhnya kepada dapatan soal-selidik ini.
Responden-responden yang terlibat dalam kaedah ini merupakan “scavengers” yang terlibat dalam pengurusan sisa pepejal iaitu meliputi pengguna, pengumpul, pembeli dan penjual sisa pepejal. Responden yang disoal-selidik ini ditemui dilokasi-lokasi pengumpulan sisa pepejal. Soal-selidik ini merangkumi latar belakang reponden, latar belakang status pengurusan sisa pepejal serta meliputi masalah yang dihadapi oleh responden dalam pengurusan sisa pepejal tersebut.

4.1.3 ANALISIS STATISTIK

Dapatan kajian yang diperoleh daripada soal-selidik yang telah dijalankan oleh pengkaji akan dianalisis menggunakan perisian SPSS bagi melihat wujudnya saling kait antara setiap data yang diperoleh. Melalui aplikasi perisian SPSS ini, data yang diperoleh daripada soal-selidik akan dikira peratus kekerapan, dan perbandingan antara dapatan kajian tersebut. Bagi melihat hasil yang diperoleh, dapatan tersebut akan dipersembahkan dalam bentuk yang lebih mudah difahami iaitu dalam bentuk jadual, graf dan carta.

4.2 PENGUMPULAN DATA SEKUNDER

4.2.1 DATA-DATA JABATAN

Data-data daripada beberapa buah jabatan yang terlibat adalah amat penting untuk mendapatkan maklumat berkaitan kajian mengenai “Peranan Scavengers Dalam Pengurusan Sisa Pepejal” ini. Dua buah jabatan yang memainkan peranan penting dalam penyelidikan ini adalah Jabatan Alam Sekitar dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Maklumat yang diperolehi daripada DBKK amat penting kerana ia membolehkan kami mengetahui kawasan-kawasan utama yang menjadi tapak pengumpulan dan juga pelupusan sisa pepejal yang terdapat disekitar Kota Kinabalu.

4.2.2 RUJUKAN PUSTAKA DAN INTERNET

Pengkaji juga turut mengumpul maklumat berkaitan kajian melalui rujukan ke perpustakaan dan internet. Hal ini membolehkan pengkaji memperoleh serba sedikit latar belakang aspek yang dikaji iaitu terutamanya mengenai konsep dan pengurusan sisa pepejal. Maklumat daripada kajian pustaka dan internet ini memberikan pengkaji maklumat mengenai kajian-kajian lepas yang telah dijalankan oleh penyelidik-penyelidik terdahulu.

5.0 SKOP KAJIAN

Kajian yang dijalankan ini adalah memfokus kepada peranan yang dimainkan oleh “scavenger” dalam menguruskan sisa pepejal yang terdapat dipersekitaran mereka. Dalam kajian ini, pengkaji menjalankan kajian lapangan ke tapak-tapak pengumpulan sisa pepejal bagi melihat kaedah pengurusan yang dilakukan. Kajian ini juga turut melihat mengenai kekangan-kekangan yang timbul yang boleh menghalang kepada perkembangan pengurusan sisa pepejal. Selain itu, kajian ini juga turut melihat status pengurusan sisa pepejal pada hari ini dan perkembangannya pada masa akan datang.

6.0 KEPENTINGAN KAJIAN

a) Dapat membantu pengkaji untuk memahami konsep pengurusan sisa pepejal yang dijalankan oleh ”scavengers” dan seterusnya dapat mengaplikasikannya dalam pelajaran dan kehidupan seharian.
b) Hasil kajian ini berguna sebagai rujukan tambahan kepada bakal-bakal penyelidik yang mengkaji mengenai pengurusan sisa pepejal.

7.0 MASALAH SEMASA KAJIAN

Semasa kajian ini dijalankan, terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh pengkaji. Antaranya adalah pengkaji mengalami kesukaran untuk sampai ke tapak pengumpulan sisa pepejal tersebut. Hal ini disebabkan, pengkaji tidak tahu titik kedudukan setiap lokasi tapak pengumpulan sisa pepejal tersebut. Maklumat yang diperolehi oleh DBKK hanya menyatakan letakan tapak pengumpulan tersebut misalnya, Asia Paper Recycle di Dongongon, City Express di Penampang, GNC di Putatan dan Kayu Madang di Telipok. Pengkaji terpaksa mengambil risiko untuk pergi sahaja ke setiap letakan yang dinyatakan tanpa mengetahui kedudukan sebenar setiap tapak pengurusan sisa pepejal tersebut. Selain itu, pengkaji menghadapi masalah dari segi pengangkutan yang digunakan ke setiap lokasi tersebut. Bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengumpulan maklumat, para pengkaji telah menyewa sebuah kereta dengan kos sewa ditanggung sendiri oleh para pengkaji.

8.0 KESIMPULAN

Pengurusan sisa pepejal melalui peranan yang dimainkan oleh “scavenger” adalah amat penting dalam mengurangkan jumlah sisa pepejal yang semakin bertambah dan mencapai tahap kritikal pada masa ini. Kadar pertumbuhan populasi manusia yang semakin meningkat, di samping kepesatan arus pembangunan secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya peningkatan komposisi sisa pepejal dalam persekitaran kita. Kajian yang lebih mendalam mengenai amalan pengurusan sisa pepejal meliputi konsep, peranan badan pengurusan dan kepentingan pengurusan sisa pepejal perlulah diambil kira bagi memastikan keberkesanan pengurusan sisa pepejal yang dijalankan oleh setiap agen pengurusan yang terlibat.



0 ulasan:

Catat Ulasan

SILA TINGGALKAN PESANAN ANDA DISINI.. Amsran.Com AKAN DATANG MELAWAT BLOG ANDA

RANDOM POSTS