Blog perkongsian maklumat dan isu semasa terkini

Penilaian Impak Sosial / Social Impact Assessment (SIA)

Penilaian Impak Sosial

Penilaian Impak Sosial / Social Impact Assessment (SIA):

Penilaian Impak Sosial atau Social Impact Assessment (SIA) merupakan aspek kemanusian yang diambil kira dalam penilaian keseimbangan ekosistem persekitaran kerana ia merupakan sebahagian daripada komponen persekitaran. Manusia yang merupakan penghuni ekosistem persekitaran merupakan komponen alam paling penting kerana setiap perubahan yang berlaku ke atas ekosistem persekitaran akhirnya akan mempengaruhi kehidupan manusia. Keperluan bagi perlaksanaan SIA dalam sesuatu projek pembangunan atau penilaian impak ekosistem persekitaran amat penting bagi meastikan keseimbangan dan kesejahteraan serta kualiti hidup manusia akan terus terjamin dan lestari.

Definisi dan Konsep.

Penggunaan istilah dan aplikasi pendekatan penilaian impak sosial dalam melihat keseimbangan ekosistem persekitaran pada peringkat awal banyak menimbulkan kekeliruan kerana setiap pengkaji atau penyelidik mempunyai pandangan dan persepektif kajian yang berbeza dalam menangani permasalahan ini.Ada dikalangan pengkaji atau penulis yang melihat penilaian impak sosial sebagai penilaian impak sosio-ekonomi. Sementara sebahagian lagi menganggap SIA ini sebagai sebahagian daripada komponen dalam penilaian impak alam sekitar (EIA).
Walau bagaimanapun, ada pengkaji yang tidak setuju dengan pandangan ini, kerana mereka beranggapan bahawa SIA merupakan aspek yang perlu dilihat secara berasingan dari EIA kerana kehadiran atau penilaian SIA sebagai sebahagian daripada komponen dalam EIA dilihat sebagai satu penilaian yang terbatas dan terhad kepada penyelesaian yang tertentu sahaja. Perbincangan SIA dalam penyediaan EIA dilihat amat cetek dan terbatas. Ia tidak dapat menggambarkan keseluruhan kualiti hidup manusia yang terlibat dengan projek pembangunan yang melalui proses EIA dalam mencapai kesejahteraan ekosistem persekitaran secara umumnya.
Menurut Wolf (1974), SIA merupaka satu proses menganggar dan menilai keadaan sesuatu masyarakat apabila ia disusun dan diubah oleh penggunaan teknologi yang berskala besar.Sementara Bowles (1981) menyatakan SIA sebagai sesuatu penilaian bersistematik terhadap impak ke atas kualiti hidup harian penduduk dan masyarakat apabila persekitaran mereka dikesani oleh pembangunan atau perubahan dasar berlaku.Seterusnya Burdge dan Vanclay (1996) melihat impak sosial dan impak budaya sebagai dua perkara yang berbeza. Mereka menyatakan impak sosial sebagai semua akibat sosial dan budaya kepada penduduk yang merubah cara mereka hidup/tinggal, bekerja, bermain, berhubung antara satu sama lain, mengatur untuk memenuhi keperluan mereka dan bagaimana mereka menyesuaikan diri sebagai ahli masyarakat. Sementara bagi impak budaya, mereka membezakannya sebagai perubahan kepada norma, nilai dan kepercayaan masyarakat. Penilaian impak budaya dilihat sebagai sesuatu yang menjurus kepada kajian yang melihat kesan ke atas tinggalan arkeologi, tempat-tempat ibadat, kebudayaan, warisan dan sebagainya.
Definisi sebenar SIA umumnya tidak ada yang tepat dan betul kerana setiap pengkaji mempunyai pandangan dan perspektif yang berbeza. Ada di kalangan ahli politik melihat SIA sebagai alat politik bagi membuat sesuatu keputusan dan sesetangah pula melihat ia sebagai satu proses sosio-politik yang memudahkan proses rundingan di kalangan kumpulan yang berkepentingan. Smith (1993) menyatakan bahawa aspek sosial, ekonomi, fizikal dan biologi persekitaran merupakan komponen yang saling berkaitan sehingga kajian atau penilaian impak yang dilakukan tidak seharusnya dilakukan secara berasingan, tetapi perlu dilakukan secara bersama dan saling berkaitan antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, penilaian ini dikenali sebagai penilaian impak total atau menyeluruh.

Persekitaran sosio-eko.

Umumnya, persekitaran sosial terdiri daripada beberapa komponen utama iaitu yang melibatkan komponen penduduk, sosio-ekonomi, kebudayaan, infrastruktur dan kemudahan serta asperk kemanusian yang lain.
Jenis-jenis impak sosio-eko terdiri darpada impak langsung ekonomi, demografi, perumahan, perkhidmatan setempat sama ada sektor awam atau swasta, dan juga sosio budaya.

1. Impak langsung ekonomi

o Pekerjaan/gunatenaga tempatan dan bukan tempatan
o Ciri pekerja (terlatih, spara terlatih)
o Penawaran dan latihan pekerja
o Tingkat upah/gaji

2. Demografi

o Perubahan saiz penduduk, sementara atau kekal
o Perubahan cirri kependudukan (saiz isirumah, tingkat pendapatan, kumpulan sosio-ekonomi)
o Pola petempatan

3. Perumahan

o Pelbagai bentuk penyewaan tempat tinggal
o Perumahan awam atau persendirian
o Harga rumah
o Pelbagai masalah perumahan

4. Perkhidmatan setempat:sector awam atau swasta

o Perkhidmatan pendidikan
o Perkhidmatan kesihatan, sokongan social
o Perkhidmatan lain – Polis, Bomba, rekreasi, pengangkutan
o Kewangan tempatan

5. Sosiobudaya

o Gaya hidup/kualiti hidup
o Masalah social-jenayah, penyakit, perceraian
o Tekanan dan konflik masyarakat, integrasi

Kesan yang dijangka keatas persekitaran sosio-eko.

Kesan langsung ekonomi biasanya mempunyai impak tidak langsung yang lebih luas. Justeru, kesan langsung pekerjaan yang dijana oleh sesuatu projek biasanya akan menjana pula perbelanjaan ke atas perkhidmatan setempat (peningkatan harga petrol, makanan dan minuman).
Nisbah antara pekerja tempatan dan bukan tempatan (pekerja asing seperti Indonesia, Bangladesh, Nepal, Filipina, Kemboja) bagi sesuatu projek pembangunan biasanya menjadi faktor penentu kepada kewujudan pelbagai impak berikutnya. Misalnya, suatu projek yang menggunakan ramai pekerja asing akan memberi implikasi besar kepada kependudukan setempat. Akan berlaku pertambahan penduduk dan masalah sosial lain. Namun, penggunaan tenaga tempatan tidak sama sekali digunakan kecuali bagi tenaga mahir kerana cenderung menggunakan tenaga luar yang lebih murah dan disebabkan sikap masyarakat tempatan sendiri.
Dari segi perubahan demografi – akan menimbulkan keperluan terhadap perumahan yang seterusnya akan member kesan kepada perkhidmatan dan pembinaan infrastruktur setempat yang lain seperti perkhidmatan kesihatan dan pendidikan.
Contohnya- projek utiliti utama seperti stesen jana kuasa atau empangan dan projek infrastruktur seperti pembinaan lebuhraya – biasanya akan menjana peluang pekerjaan yang banyak semasa pembinaan berbandingkan dengan keperluan tenaga kerja yang rendah semasa operasi. Namun begitu, dari segi budayanya, penduduk setempat akan mengalami perubahan cara hidup dan memerlukan masa yang lama untuk berinteraksi dengan budaya hidup yang baru akibat daripada proses penempatan semula dan lain-lain.

Kesimpulan.

Kesimpulannya, SIA dapat memberikan gambaran jelas bagaimana pembangunan memberi kesan kepada sosio-eko akibat daripada pembangunan yang berlaku di kawasan setempat. Penekanan terhadap SIA perlu diberi keutamaan kerana sering komponen manusia dan kesan sosioekonomi mendapat perhatian hambar daripada pelaksana dan penilai EIA. Penekanan ini perlu kerana akibat daripada pembangunan kesan terhadap sosio-eko terpinggir dan memberi kesan kepada masyarakat dan komuniti setempat.

2 comments:

  1. Yes, SIA is needed to ensure the affected individual or group are benefitted from any development.

    ReplyDelete
  2. blh saya nk dptkan rujukan yg saudara/ri mngenani SIAnih x?sbb sy sdg mencari maklumat mengenainya.
    TERIMA KASIH

    ReplyDelete

SILA TINGGALKAN PESANAN ANDA DISINI.. Amsran.Com AKAN DATANG MELAWAT BLOG ANDA

RANDOM POSTS